SEJARAH PENUBUHAN PERTUBUHAN GERAK SENI SILAT ABJAD ( A ) JABAT KILAT, MALAYSIA
ABJAD yang diasakan oleh Allahyarham tuan Guru Hj. Mahmud Nasri Othmani telah bergerak semenjak tahun 70-an lagi, akan tetapi ianya bergerak di kalangan tun guru dan murid-muridnya sahaja. ABJAD bergerak secara demikian kerana ia tidak didaftarkan sah disisi undang-undang negara pada masa itu. Malahan pernah suatu ketika ABJAD diharamkan oleh Kerajaan Negeri kedah kerana tidak berdaftar.
Pada malam 31 Ogos 1983, Pertubuhan Seni Silat Gayung Patani Jabat kilat Chemor telah diserahkan kepada Tuan Guru Hj.Ahmad bin Hj. Che Din. Dengan persetujuan Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Gayung Patani Jabat Kilat Chemor serta ahli-ahli, nama pertubuhan tersebut telah ditukar kepada Pertubuhan Gerak Seni Silat ABJAD ( Asli ) Jabat Kilat Perak. Selepas proses pertukaran nama dan perlembagaan pertubuhan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. ABJAD telah menjadi satu pertubuhan yang diikiraf dan sah disisi undang-undang negara pada bulan Oktober 1984 ( no pendaftaran P.K 2090 ).
Pada bulan September 1988, Yang Dipertua Pertubuhan serta ahli-ahllinya telah bersetuju supaya nama pertubuhan ini diubah dari ABJAD Perak kepada ABJAD Malaysia dengan kelulusan rasmi Pendaftar Pertubuhan.
PENGENALAN RINGKAS
Pertubuhan Gerak Seni Silat ABJAD ( Asli ) Jabat Kilat adalah suatu nama kepada suatu kaedah kesenian yang didalamnya merangkumi semua jenis langkahan rohani dan jasmani ( Ibu Gayung Rohani Jasmani ) yang berhadap semua kepada Allah pada mengesakan Af’al Allah, Sifat Allah dan Zat Allah serentak melalui lidah, hati dan perlakuan di semua tempat dan masa bersepakai barang yang Allah S.W.T kurniakan kepada khalifah-khlifah-Nya melalui perhubungan rohani jasmani yang sampai kepada Rasullah S.A.W..
TUJUAN
Di harap dapat mentarbiahkan ahli-ahlinya supaya tidak berpegang kepada tabiat kuat yang ada pada kelakuan ikthiar usaha, tehuh cita-cita atau rangkaian doa boleh menghasilkan sesuatu atau berfahaman bahawa melalui ketiga-tiga perkara ini boleh menghasilkan sesuatu, di samping mengaku Qudrat dan Iradat Allah atau menyerah mutlak kepada Allah tanpa ketiga-tiga perkara tersebut, kerana sekalian itu membawa sesat aqidah seseorang kepada Allah S.W.T.
PENGERTIAN KALIMAH
Kalimah GERAK SENI SILAT ABJAD ( ASLI ) JABAT KILAT diertikan seperti berikut :-
GERAK : ertinya amalan atau perbuatan atau kelakuan SENI : ertinya indah, segak, cantik atau baik SILAT : ertinya menolak segala kejahatan, menerima segala kebajikan / kebaikan serentak melalui lidah, anggota dan hati ( Lahir dan batin ) ABJAD : ertinya ASLI, yakni bersepakai barang yang Allah S.W.T kurniakan kepada sekaian Rasul-rasul A.S, Nabi-nabi dan Aulia’ Ilahissolihin untuk menegakkan ugama Allah di diri zahir dan batin seumpama Rasullah S.A.W, Nabi-nabi dan Para Aulia’ Allah. ” Menurut Imam Barmawi di dalam Syarah Bukhari ’.....takala Siti Maryam telah melahirnya Isa A.S sehingga umurnya 9 bulan, telah dihantar Ia oleh ibunya mengaji ilmu. Telah berkata gurunya ’ucapkanlah Bissmillah’ dengan lidah yang fasih Isa A.S menyebut ’Bissmillahhirrahmannhirrahim’. Kata gurunya, ’Sebut olehmu ABJAD’. Ditanya oleh Isa A.S akan gurunya ’adakah kamu tahu apa itu ABJAD’. Tidak, jawab gurunya. Dijelaskan oleh Isa A.S bahawa Aliff itu Allah, Baa’ itu Baha’ullah ( kebesaran / keagungan Allah ), Jim’ itu Jalallulah ( Keindahan / kecantikan Allah ), Dal’ itu Dinnullah ( Agama Allah / Islam ).
JABAT : ertinya pegangan atau sentuhan.
KILAT : ertinya pantas atau cepat
SALASILAH GERAK SENI SILAT ABJAD ( ASLI ) JABAT KILAT
Sheikh Hj. Mahmud Nasri Othmani menerima Pusaka Wali Ugama Islam daripadaa Tuan Guru Sheikh Yussof Kenali Al-Kelantani melalui ucapan bai’ahnya. Tuan Guru Sheikh Yussof Kenali menerima akan dia daripada Sheikh Ahmad bin Mohd Zin Al-Patani. Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri Othmani disuruh oleh gurunya ( Tok Kenali ) menerima latihan Jabat 14 cara-cara hulubalang daripada Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Jabat Patani. Tuan Guru Hj. Abdul Rahman menerima daripada gurunya, Sheikh Ahmad bin Mohd Zin Al-Patani. Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri Othmani berlatih cara-cara hulubalang daripadanya gurunya, Hj. Taib bin Hj. Abdul Rahman Al-Kelantani yang menerima amalan jabat 14 daripada gurunya, Hj. Abdul Rahman Jabat Patani. Tuan Guru Hj. Tain juga ada menerima amalan seumpama itu daripada sheikh Yussof Kenali.
OBJEKTIF PERTUBUHAN
Menentang 5 perkara : Petua-petua atau kaedah yang ada mubai’at atau sumpah yang bertujuan kepada hikmah mencarik adat. Petu-petua atau kaedah yang ada pantang menepati hukum-hukum syarak. Petua-petua atau kaedah marah atau memarahi bagi mengzahirkan yang mencarik adat. Petua-petua atau kaedah yang berpegang kepada kebesaran ayat-ayat wirid, jampi, doa, atau lain-lain yang zahir semata-mata. Tidak tahu asal usul dari mana, ke mana dan di mana.
Menegak 5 perkara dalam diri: Iman yang teguh serta beradab mukmin. Sejahtera diri sebagai mukmin dalam rumahtangga, masyarakat dan Negara. Melazimi Ihsan pada Zahir dan batin. Pohon menjadi ummat yang di terima oleh Allah dan rasulnya di dunia dan akhirat. Pohon elok kesudahan mati.
KEWAJIPAN DAN TANGGUNGJAWAB AHLI.
Setiap ahli adalah berkewajipan mematuhi dan bertanggungjawab terhadap bai’ah yang dilafazkannya iaitu mengaku menjadi murid kepada Sultan Aulia’ Sheikh Mahyuddin Abdul Qadir Jilani serta menerima Pusaka Wali Ugama Islam melalui lafaz dua kalimah syahadah. Bai’ah yang dilafazkan ada perkatan rapat dengan Pelembagaan Pertubuhan Gerak seni Silat ABJAD ( A ) Jabat Kilat Malaysia di dalam Fasl 7.
SERUAN
Wahai saudara-saudara kaum muslimin muslimat mukminin mukminat, kecil besar,tua muda, berpangkat atau awam, ahli-ahli ilmu, ahli-ahli jampian, ahli-ahli aurad, ahlli-ahli pertapaan, ahli-ahli uzlah, ahli-ahli tarikat, ahli-ahli hikmat kebathinan, ahli-ahli hulubalang, ahli-ahli langkahan jasmani,...marilah sama-sama kita kembali ke hadhrat Allah, marilah kita sama-sama mentauhidkan Zat Allah, Sifat Allah, Asma’ Allah dan Af’al Allah serentak melalui lidah, anggota dan hati di semua tempat, semua waktu dan semua masa.
Gerak alamat hidup, diam alamat mati. Oleh itu bergerak oleh sekalian kamu hulubalang Allah, seumpama mereka mereka yang kuat, gagah dan teguh selama-lamanya di dunia dan di akhirat walau menghadapi seribu satu ujian, seribu satu bebenan, seribu satu bala,dihalang seribu satu halangan dan di cabar seribu satu cabaran.
”........pegang bara biar sampai jadi abu, alang-alang seluk perkasam biar sampai kepangkal lengan, mara terus mara jangan berundur ke belakang, mara puji berundur keji, bujur lalu melintang patah, tumbuh hilang berganti. Allahu’akhbar ! Allahu’akhbar! Allahu’akhbar.........!”
|